Related Posts with Thumbnails

Bersalahkah'AKU' ??

By e.r.n.y.y.a.n.t.y // No Comments

Sempena menyambut 10 Malam Terakhir Ramadan …

Apabila manusia sekarang semakin leka dengan arus 'kemodenan'....inilah hasil yang diperolehi.....renung-renungkan..

Gambar bayi yang dibuang (koleksi berita Mei - 31 Ogos 2010) Astagfirullahazim….

Ogos 29, 2010

oleh syahrilkadir

* gambar Jidin Giding

Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui disumbat dalam sebuah beg kertas sebelum disangkut pada sebatang tiang papan tanda di simpang lampu isyarat di Brunfield di Seksyen 13 di sini semalam

Ketika ditemui kira-kira pukul 5.30 petang itu, bayi malang yang dibaluti dengan kain batik tersebut masih bertali pusat dan mempunyai uri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati bayi tersebut dilahirkan kurang dari 24 jam

apalagi nak dikata…

KOLEKSI BERITA KE 24 pada 27/8/2010

Sepasang suami isteri yang baru pulang dari solat terawih menemui seorang bayi perempuan yang berusia seminggu ditinggal didepan rumah pasangan tersebut.


*sumber dari berita harian

Kejadian berlaku kira pukul 11 malam. Bayi yang seberat 1.4.kilo itu lengkap berbalut dengan lampin dan selimut. Lapuran bayi dibuat di pejabat polis berdekatan di ibu pejabat polis daerah Seberang Prai Tengah semalam.


Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas

JOHOR BAHRU 22 Julai – Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku.

Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.

Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya.

Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya.

Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan.

“Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan.

Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pemuda tanam bayi dihukum penjara dua tahun

(Lelaki Melayu 19 tahun & wanita Melayu 15 tahun).

MELAKA 17 Jun – Akibat menyembunyi dan menanam bayi lelaki yang baru dilahirkan pada 12 Mei lalu, seorang remaja, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail turut menggenakan denda RM8,000 kepada Muhammad Safiuddin, 19, selepas remaja lelaki itu dan pasangannya, seorang pesalah juvenil berusia 15 tahun mengekalkan pengakuan bersalah mereka atas tuduhan tersebut.

Muhamad Faizal yang membuat keputusan di kamarnya turut mengarahkan remaja perempuan itu membayar jaminan bon sebanyak RM2,000.

Pesalah juvenil terbabit turut dikenakan syarat wajib berada di rumah sebelum pukul 6 petang selama dua tahun dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali selama dua tahun.

Ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 18 Mei lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara menanam mayat bayi itu di tepi sebatang sungai di Taman Melaka Baru di sini.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara pukul 12 dan pukul 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor memberitahu, keputusan menjatuhkan hukuman penjara maksimum itu dibuat memandangkan kes tersebut adalah berat.

Ujarnya, Muhamad Faizal menyatakan hukuman setimpal yang dijatuhkan bukan hanya untuk pesalah semata-mata tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada masyarakat tentang kesalahan serius yang dilakukan itu.

Kata pendakwa raya itu lagi, ini kerana pada pandangan Muhamad Faizal, kedua-dua tertuduh bukan sahaja melakukan hubungan seks tanpa nikah malah menyembunyikan kelahiran bayi mereka dan secara tidak langsung menyebabkan bayi itu meninggal dunia.

Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, Farah Wahida menghujahkan bahawa perbuatan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak negatif kepada masyarakat malah lebih teruk lagi, kedua-dua tertuduh mempunyai rancangan untuk membuang bayi mereka.

”Kedua-dua mereka telah merancang untuk membuang bayi itu dengan bukti lokasi bayi ditanam jauh daripada orang ramai termasuk sebuah peralatan cangkul yang digunakan untuk menggali lubang,” katanya.

Turut hadir dalam prosiding tertutup itu ialah dua penasihat dari Mahkamah Juvenil iaitu Rizal Abdullah dan Zainon Mohd. Ali yang dilantik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pasangan remaja mengaku salah tanam bayi

TERTUDUH (menutup muka) hadir di Mahkamah Majistret, Melaka semalam atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi.

MELAKA 18 Mei – Tindakan kejam sepasang remaja menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan di tepi sebatang sungai, enam hari lalu telah mengheret mereka berdua ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ibu bayi itu, seorang remaja berusia 15 tahun dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru mengaku bersalah secara bersama-sama menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan mengebumikannya di tepi sebatang sungai dekat Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Kedua-dua mereka yang bertubuh kecil dituduh melakukan kesalahan itu di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Muhammad Faizal Ismail menetapkan 17 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan fakta kes sementara menunggu laporan akhlak kedua-dua tertuduh dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Beliau juga membenarkan pasangan remaja itu masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latif menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Muhammad Safiuddin memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang ditawarkan dengan alasan dia masih belajar dan sedia untuk berubah.

”Saya mohon diberi peluang kedua. Saya akan berubah dan ingin meneruskan pelajaran,” katanya.

Teman wanitanya yang kelihatan menggigil ketika di mahkamah memakai dua lapis baju T, stokin dan berselipar juga memberi alasan sama iaitu masih belajar.

”Ibu saya juga merupakan ibu tunggal selain adik-adik lain juga masih sekolah,” katanya.

Kedua-dua tertuduh kemudian dibebaskan selepas dijamin oleh ibu masing-masing.

Muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pasangan remaja tersebut yang bertindak menyembunyikan kelahiran anak mereka dengan cara menanamnya di tebing Sungai Melaka di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Kejadian itu mula disedari oleh ibu kepada remaja perempuan terbabit yang terkejut apabila mendapati anaknya itu dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan.

Sebaik sahaja disahkan anaknya baru melahirkan seorang bayi, ibu berusia 30-an itu kemudian membuat laporan polis sebelum polis berjaya menahan remaja lelaki terbabit.

Remaja tanam bayi

MUHAMMAD Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah untuk dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara mengebumikannya, di Alor Gajah, Melaka, 18 Mei. – Utusan/ABDUL RAZAK LATIF
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 17 Mei – Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya.Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir.Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya.Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu.“Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi.“Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama,” katanya.Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

Lagi mayat bayi ditemui

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
MAYAT bayi lelaki bertali pusat ditemui hanyut di Sungai Klang, Kampung Bukit Lancung, Puchong, semalam.

SUBANG JAYA 6 Mei – Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.

Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.

Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.

Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.

“Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.

Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.

Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.

“Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras,” katanya.

Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis

Seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang ditinggalkan di sebuah pondok di Sepang, semalam.

SEPANG 4 Mei – Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau.

Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis.

Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini.

Dia yang sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum itu tidak dapat mengagak bunyi seperti kucing mengiau itu adalah tangisan seorang bayi.

“Disebabkan perasaan tidak puas hati, saya terus menuju ke pondok yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah.

“Terkejut dan menggigil saya apabila melihat seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang hanya diletakkan di atas sehelai kain batik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Asisten Supritendan Zaihairul Idrus berkata, bayi lelaki berumur sebulan itu dipercayai keturunan Melayu.

“Bayi itu ditemui pada pukul 7 pagi ini dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya.

“Dipercayai bayi malang itu ditinggalkan selama dua jam sebelum ditemui,” katanya.

Zaihairul berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Serdang.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes pembuangan bayi boleh menghubungi IPD Sepang di talian 03-87774222.

Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi lebih dua tahun lalu.

Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus.

Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Marzita Subaker. – Bernama

Oleh Mohd Fadly Samsudin

HILANG akal! Itu gambaran sikap melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga ‘bunting’ anak haram lalu membuang atau membunuh zuriat itu tanpa berperikemanusiaan.

SIASAT...anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai
SIASAT…anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai

TIDAK BERHATI PERUT...bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.
TIDAK BERHATI PERUT…bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.

Kes pembuangan bayi kian menjadi-jadi dan lebih memalukan, jenayah itu dilakukan remaja Melayu beragama Islam yang dikatakan memiliki adab serta akhlak yang tinggi. Pelik kerana hari ini masyarakat mempunyai tahap pemikiran yang baik, asas agama kuat, tinggal dalam suasana aman dan damai dan penuh ciri ketimuran. Tetapi, mengapa perkara ini masih berlaku? Jika dikaji, memang tidak dinafikan perhubungan seks bebas mendorong gejala pembuangan bayi. Apabila sudah mengandung dan bagi mengelak malu kepada keluarga, cara mudah ialah membuang atau membunuh bayi itu.
Sudahlah melakukan dosa berzina, selepas itu tergamak membunuh zuriat sendiri tanpa rasa bersalah, lebih buruk berbanding haiwan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah Al-Israa’ ayat 32) Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.
Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan, antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa. Sebagai manusia waras, tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.
Sudah terlalu kerap berita penemuan bayi yang menjadi tajuk utama media massa. Tong sampah, kubur, semak, sungai, kaki lima, lubang tandas, malah kawasan masjid juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi.

Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana ‘dimamah’ haiwan liar.

Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti ‘tolong kebumikan mayat ini.’ Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya? Jika zaman sebelum Islam, masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.
Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan Allah di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan, malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak buruk kepada umat Islam. Firman Allah dalam bermaksud: “Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka.” (Surah al-Ahzab ayat 36) Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutama perlu diberi perhatian serius kerana dikhuatiri ‘lesen’ berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab.” (Riwayat Bukhari) Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukan kepada Allah s.w.t. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika. Maka mereka perlu bijak memilih jalan kehidupan yang sempurna. Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman jahiliah bukan bermakna mereka tidak berilmu, tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang.
“Perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival (dijadikan makanan).
“Naluri keibubapaan tetap menganggap perbuatan berkenaan salah. Perbuatan itu tetap tidak dapat menghapuskan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.
Beliau berkata, Islam amat menekankan aspek pencegahan dan sebab itu Allah melarang mendekati apatah lagi melakukan zina.
“Zina adalah dosa besar. Ia merosakkan sistem keturunan manusia kerana jika sudah terlanjur pasti membawa kepada mengandung anak luar nikah.
“Sebenarnya tiada alasan mereka membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa berkenaan,” katanya.
Menurutnya, manusia hilang nilai kemanusiaan kerana mereka hidup bertuhankan nafsu. “Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu,” katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’araf ayat 179)

Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUCHING 6 Mac – Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.

Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.

Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.

“Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi

SEGAMAT 1 Mac – Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.

Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.

Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.

Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.

ARKIB : 23/02/2010

Banyakkan Rumah Perlindungan

Apakah hak perlindungan dari segi kelahiran bayi menurut undang-undang ke atas ibu yang hamil di luar nikah ini?NOOR AZIAH: Sebenarnya semua wanita sama ada yang berkahwin atau pun tidak berhak kepada penjagaan semasa mengandung dan melahirkan anak. Penjagaan mengikut piawaian antarabangsa kerana kita sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Kita juga menandatangani konvensyen berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di mana artikel 12 menjelaskan bahawa:1) Negara yang menjadi ahli kepada konvensyen hendaklah membuat cara sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam hal kesihatan untuk memastikan, dan berasaskan kesamarataan di antara lelaki dan wanita, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk perancangan keluarga;2) Apa pun yang dinyatakan oleh para (1), negara ahli hendaklah memastikan setiap wanita mendapat perkhidmatan kesihatan berhubung dengan kehamilan, semasa berpantang dan selepas melahirkan anak, memastikan semua perkhidmatan adalah percuma di mana-mana yang perlu serta pemakanan yang berkhasiat semasa mengandung dan menyusukan anak.Jika dilihat dari konvensyen ini, Malaysia terikat dengan artikel 12 kerana kita telah menandatangani dan meratifikasi CEDAW. Maka setiap wanita mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan semasa mengandung, semasa melahirkan anak dan semasa menyusukan anak.Perlindungan yang mereka berhak perolehi adalah hak perkhidmatan kesihatan. Oleh yang demikian, tanpa mendiskriminasi, semua wanita yang hamil berhak kepada perlindungan ini dan hospital di Malaysia mesti atau wajib memberikan mereka perkhidmatan tersebut.Jika yang hamil luar nikah, Akta Kanak-kanak 2001 membuat peruntukan perlindungan bagi gadis yang mengandung luar nikah di mana seksyen 41(2)(d) membenarkan kanak-kanak perempuan berumur bawah 18 tahun yang mengandung luar nikah ditempatkan di tempat selamat di atas permohonannya sendiri untuk ditempatkan sedemikian.Dua peruntukan ini memberi perlindungan perundangan kepada ibu yang mengandung tanpa nikah terutama jika ibu tersebut masih kanak-kanak.Di hospital atau di rumah perlindungan, tentu mereka mendapat jagaan yang rapi untuk membolehkannya melahirkan anak dengan selamat dan semasa mengandung mendapat jagaan yang rapi termasuk makanan berkhasiat.Bagi gadis di bawah 16 tahun, kehamilannya adalah disebabkan rogol (kesalahan jenayah mandatori – mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun) dan pelaku boleh dihukum penjara dan rotan.Bagi wanita Islam, jika kehamilan tidak disebabkan rogol malahan kerana perzinaan secara suka sama suka, maka ia adalah suatu kesalahan jenayah syariah jika didakwa dan disabitkan.Pasangan yang berzina boleh dipenjara sehingga 3 tahun, atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. Jika wanita tersebut sedang hamil, hukuman boleh ditangguhkan sehingga beliau melahirkan anaknya.Apakah punca sebenar kes-kes begini berdasarkan kajian?NOOR AZIAH: Saya baru selesai menjalankan kajian yang bertajuk ‘Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia’. Kajian ini saya buat bersama tiga rakan yang lain iaitu Dr. Che Norlia Mustafa, Mohd Al Adib Samuri dan Hafilah Musa.Dalam kajian, saya menemu bual 58 responden yang hamil luar nikah dari sebuah rumah perlindungan. Apabila ditanya kenapa mereka mengandung luar nikah mereka menjawab sedemikian:Alasan / Punca Kejadian dan Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf

  • Suka sama suka (23 kes)
  • Terlalu percayakan lelaki sebagai kekasih (8 kes)
  • Suka bebas/terlalu bebas (6 kes)
  • Ingin mencuba seks (3 kes)
  • Kurang didikan agama (2 kes)
  • Dirogol (11 kes)
  • Pengaruh kawan-kawan (7 kes)
  • Sebab-sebab lain seperti tekanan keluarga, diabai ibu bapa, jika mengandung ibu bapa akan bagi kahwin dan lain-lain.Bagaimana mengambil jalan tengah antara membantu ibu yang hamil luar nikah dengan hukuman?NOOR AZIAH: Sebenarnya tiada jalan tengah dalam isu mengandung luar nikah. Kita semua manusia yang dijadikan Allah sebagai hambanya. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan seharian kita di dunia ini.Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman.Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun. Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah.Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan.Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya.Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah.Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya.Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya.Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat. Adakah ini turut menyumbang kepada peningkatan kes membuang bayi?NOOR AZIAH: Masyarakat kita masyarakat yang berpegang kepada adat dan agama. Namun dalam masa yang sama kita lebih senang menghukum dari membantu mangsa.Kata orang “berat mata memandang, lebih berat bahu memikul”. Tiada seorang wanita pun mahu mengandung luar nikah jika diberi pilihan. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah dan kita mesti melihatnya sebagai pengajaran dan perlu diambil iktibar.Malangnya kita manusia yang sangat lemah. Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita tuding jari, cari salah siapa. Dah berlaku, semua orang salah… ibu bapa salah, masyarakat salah…pemimpin salah, semua salah…Jangan cari salah.Cari macam mana nak hindar dan baiki keadaan. Sebab itu apabila tahu saja mengandung, anak gadis panik. Lari dari rumah, cuba gugurkan dan akhirnya jika semua ikhtiar gagal, mereka buang bayi.Fikiran mereka buntu dan mereka tiada siapa nak mengadu. Semua salahkan mereka, mereka juga malu. Saya yakin memang sikap kita secara tak langsung menyumbang kepada pembuangan bayi.Bagi yang tidak kena batang hidung, mereka tidak melihat perlunya diwujudkan rumah persinggahan untuk golongan ibu hamil di luar nikah ini. Kata mereka, ia hanya akan mendorong lebih banyak kes sedemikian. Benarkah NOOR AZIAH: Rumah Perlindungan atau Persinggahan untuk ibu yang hamil sangat perlu kerana ia boleh mengurangkan jumlah pembuang bayi. Tapi ia mestilah tanpa syarat dan no question ask?Kita bukan nak galakkan mereka berzina. Itu anggapan yang biasa dibuat masyarakat umum. Itu anggapan salah. Rumah ini boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak.Kita boleh beri peluang untuk anak tak sah taraf hidup normal sebagai anak angkat. Ibu yang terlanjur boleh diberi peluang kedua membaiki hidupnya dan memulakan kehidupan yang baru. Mesti ada modul yang sesuai untuk memperbaiki diri dan sahsiah mereka.Kehamilan tidak akan berlaku tanpa penglibatan lelaki. Apa pula tindakan yang perlu diambil ke atas lelaki terlibat.NOOR AZIAH: Kata orang Inggeris, It takes two to tango. Yang malangnya, wanita membawa bukti yang jelas. Kita ada teknologi.Kita boleh buat DNA pada anak dan pada lelaki yang dikatakan menyebabkan seseorang wanita itu hamil. Kita hadapkan kedua-duanya ke mahkamah, jika Islam, lelaki mesti menjalani hukuman juga.Satu lagi ialah mereka patut diperintahkan membayar nafkah anak tak sah taraf tersebut bukan kerana nasab tetapi sebagai hukuman. Itu lebih berkesan kerana mereka akan lebih berhati-hati di masa akan datang.Saya pernah cadang dulu lelaki membayar diat (denda) kepada wanita yang dihamilkannya itu. Dia juga perlu membayar pampasan kepada anak biologinya.
  • Bayi lelaki ditemui rentung dalam tong sampah

    13/02/2010 3:02pm
    AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my

    KUALA KRAI 13 Feb. – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan beberapa hari ditemui dalam keadaan rentung dalam sebuah tong sampah di belakang sebuah bank di sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, mayat bayi itu ditemui oleh seorang pekerja Majlis Daerah Kuala Krai kira-kira pukul 11 pagi.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya bayi malang tersebut dibuang ke dalam tong sampah berkenaan sebelum dibakar. – Utusan

    Buang bayi tindakan kejam

    Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
    pengarang@utusan.com.my

    KUALA LUMPUR 11 Feb. – Betul-betul kejam. Kalau tak nak, bagi saja pada kita! Demikian reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

    “Saya bangun pagi tadi, terus baca tentang kes ini, ia betul-betul kejam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.

    Shahrizat ditemui pemberita selepas melancarkan jurnal antarabangsa Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku sejak Isnin lalu apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.

    Semalam, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.

    Shahrizat berkata, kejadian-kejadian itu menjadi satu petunjuk yang amat membimbangkan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

    “Ini menunjukkan masyarakat kita menghadapi tekanan. Sebab itu dalam hidup kita ini perlu ada keseimbangan. Kita lihat dulu perkara seperti ini tidak berlaku sekerap ini.

    “Ini kerana dulu kita ada keluarga yang besar. Apa-apa terjadi pun bukan saja ibu bapa membantu, saudara-mara lain juga akan tolong. Tetapi kita lihat ia sudah tidak ada pada hari ini sebab struktur keluarga yang kian berkecai,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan dan banyak lagi pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan wanita dan keluarga menyediakan bantuan kepada mereka yang tidak ada saluran lain untuk meminta pertolongan.

    “Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Kalau tak mampu hendak menjaga anak yang baru dilahirkan bagi pada kita, kita boleh jaga. Tolong jangan buat macam ini. Rumah-rumah perlindungan kita juga banyak.

    “Setidak-tidaknya datang berjumpa pemimpin tempatan, Wanita UMNO pun boleh kalau sudah tidak tahu ke mana hendak minta bantuan lagi,” katanya.

    Ketua Wanita UMNO itu memberitahu pergerakan itu dan NGO mempunyai kaunselor yang boleh membantu mereka yang bermasalah.

    “Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima,” tegasnya.

    Apa yang penting bagi Shahrizat, perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi tidak boleh dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini.

    Mengulas mengenai NIEW, Shahrizat berkata, pertubuhan itu akan menjadi penggerak kepada wanita di negara ini dan seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan dalam isu-isu wanita.

    Katanya, NIEW juga diyakini dapat meningkatkan imej wanita terutama di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam segala hal.

    “Kadang-kadang imej negatif terhadap wanita menjadi masalah kerana persepsi yang tidak dapat dihakis. Jadi NIEW perlu berusaha gigih untuk meningkatkan martabat wanita,” katanya.

    Mayat Bayi Dibekal Ubat Semut Dan Gunting

    09/02/2010 pada 11:39 pm · Dikirim dalam Isu Semasa, Kekejaman Terhadap Bayi

    Tindakan mencurigakan dua lelaki yang membawa cangkul dan memecut laju motosikal melalui jalan tanah merah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di Lorong Perusahaan Maju Lapan, berdekatan Juru Autocity, di sini, semalam.

    Lebih memeranjatkan, penjenayah berkenaan boleh dikatakan ‘baik hati’ apabila meletakkan ubat anti semut, gunting selain membungkus bayi berkenaan menggunakan kain lampin.

    Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum ditanam di belakang sebuah kilang.

    Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari orang ramai selepas mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis MZ 125 dalam keadaan mencurigakan melalui jalan tanah merah itu.

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki tidak diketahui bangsa itu didakwa membawa cangkul dan menunggang motosikal dalam keadaan laju.

    “Apabila orang ramai ke tempat dua lelaki terbabit dipercayai menanam sesuatu, mereka menemui mayat seorang bayi lelaki dengan separuh badannya dari paras leher ke bawah tertanam.

    “Berdasarkan fizikalnya, bayi ini cukup sifat dan berambut nipis, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

    Menurutnya, bayi itu sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

    Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 atau balai polis berhampiran. ~~myMetro

    Mayat bayi dalam tong sampah
    Oleh HAMIMAH HAMID
    utusanperak@utusan.com.my
    Seorang anggota polis mengangkat mayat bayi perempuan yang ditemui oleh pekerja Majlis Bandaraya Ipoh ketika memungut sampah di kawasan rumah pangsa Jalan Asby, Ipoh, semalam.

    IPOH 30 Dis. – Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah di kawasan rumah pangsa Jalan Asby di sini hari ini.

    Bayi malang itu dijumpai oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang bertugas memungut sampah di kawasan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pekerja MBI itu yang sedang menjalankan rutin harian terkejut apabila menemui mayat bayi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi dan terus melaporkannya kepada polis.

    “Mayat bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Polis kini sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

    “Sehingga kini belum ada suspek yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini.

    Sehubungan itu, Azisman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

    Mayat bayi itu, katanya, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

    “Dan apabila anak-anak yang ditanam hidup-hidup menyoal ‘Kerana dosa apa dia dibunuh’ ” (Surah At-Takwir : 8 – 9). Sejarah berulang. Jahiliyah Arab di zaman Nabi saw kini berulang di Zaman Internet, tidak mustahil berulang jika umat menjauhi petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.

    Bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui tertanam di tanah perkuburan

    buang-bayi
    ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi perempuan yang dijumpai di Tanah Perkuburan Islam, Senawang, Seremban, semalam.

    SEREMBAN 30 Mac – Polis hari ini mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini pagi ini mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

    Mayat bayi yang baru berusia 14 minggu itu ditemui tertanam oleh seorang penjaga kubur setelah ternampak kesan tanah gembur serta kotak dipercayai bekas menyimpan mayat bayi malang itu di tanah perkuburan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, penjaga kubur itu kemudian membuat laporan polis sebaik sahaja mengesan sesuatu yang aneh di tanah perkuburan tersebut.

    “Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penjaga kubur berkenaan membuat laporan polis tidak lama kemudian. Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi tanah perkuburan itu.

    “Hasil siasatan awal, polis menemui satu kotak dipercayai diguna untuk menyembunyikan mayat berkenaan dengan bahagian dalamnya terdapat kertas surat khabar dan bongkah tanah serta kesan lendir dan darah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut Saiful Azly, polis kemudian menggali lokasi tanah itu dan menemui mayat seorang bayi perempuan berusia kira-kira 14 minggu dibungkus dengan kain putih seperti dikapankan dan ditanam di tanah perkuburan itu.

    Difahamkan, Tanah Perkuburan Islam Senawang tersebut masih belum beroperasi untuk sebarang pengkebumian.

    “Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, kerana dipercayai mempunyai unsur jenayah,” tegasnya.

    Ketika ini, kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab.

    Sehingga kini juga, tambah Saiful Azly, belum ada tangkapan dibuat dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

    Dipercayai, bayi malang itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan dan ditanam di tanah perkuburan itu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    “Polis juga sedang mengenal pasti keturunan bayi berkenaan dan akan menunggu laporan bedah siasat,” jelasnya.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu dan menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

    Bayi lelaki baru lahir ditemui

    MERSING 21 Mac – UtusanOnline – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan pembuangan sampah di Pantai Air Papan, dekat sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rashid berkata, bayi malang itu ditemui seorang pengunjung yang baru tiba di pantai itu untuk berkelah pada pukul 10.30 pagi.

    ”Polis yakin bayi itu baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih mempunyai tali pusat dan tubuhnya masih berdarah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

    Menurutnya, bayi yang kelihatan sihat itu dipercayai berketurunan Melayu. Dia kini dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk rawatan lanjut.

    Katanya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

    SUNGAI PETANI 14 Mei – Sungguh kejam. Gejala buang bayi kini kembali berulang. Kali ini, mayat bayi yang dilahirkan disembunyikan di bawah katil.

    Seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai mengandung anak luar nikah sanggup menyembunyikan bayi lelakinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di bawah katil di rumahnya, sebelum ditemui polis malam tadi.

    Bayi lelaki yang cukup sifat seberat dua kilogram itu dipercayai dilahirkan pagi Sabtu lalu dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau, dekat sini.

    Wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini itu kemudian meninggalkan mayat bayi tersebut di bawah katil tanpa pengetahuan sesiapa.

    Dia kemudian meminta bantuan saudaranya menghantar ke hospital kerana mendakwa ‘sakit perut’.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian itu hanya disedari oleh pegawai perubatan Hospital Sik yang merawatnya dan mengesan tali pusat bayi masih tertinggal dalam rahim wanita berkenaan.

    Menurutnya, wanita itu dikatakan tidak mahu memaklumkan kejadian tersebut kerana khuatir dimarahi oleh ahli keluarganya.

    “Curiga dengan tindakan wanita itu, pegawai perubatan hospital kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

    “Polis yang memeriksa rumah wanita itu menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat dibungkus dengan tuala dan diletakkan bawah katil,” katanya.

    Kejadian buang bayi sebelum ini berlaku di Perak pada Isnin lalu apabila mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati di Masjid Simpang Lima, Kerian bersama wang tunai RM150 untuk urusan pengkebumian.

    Sementara itu, Hashim memberitahu, ketika ditemui, bayi tersebut dalam keadaan hampir reput dan berbau busuk.

    Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

    Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

    Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat manakala wanita berkenaan ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut kerana mengalami pendarahan dalaman.


    Insaflah kepada yang 'berkenaan'...yang 'bunuh' @ 'buang' bayi yang tidak berdosa itu...sesungguhnya mereka tidak bersalah apa-apa.... Jangan disebabkan melayan keseronokan & kemodenan dunia, ini hasil yang diperolehi...Azab dunia pun dah dapat..inikan pula azab di neraka..nauzubillah....Tepuk dada tanya iman...sekian...

    Leave a comment